MCMC minta penjelasan TikTok berhubung kes penyeludupan dadah

Oleh: Sholina Osman
8 NOV. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan media mengenai penggunaan platform TikTok bagi merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan susulan laporan tersebut, pihaknya telah meminta penjelasan rasmi daripada pihak TikTok berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman mereka terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.

Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu, merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

SETIAP PEMEGANG LESEN

Selain itu, Seksyen 263(1) memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen adalah bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara.

Tawaran seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi “keldai dadah”.
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko penyalahgunaan media sosial bagi kegiatan jenayah rentas sempadan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *