






Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 NOV. 2025
Masih ada segelintir di dalam masyarakat yang terperangkap dalam fikiran kolot, menghina sesama insan kerana warna kulit, kekayaan, atau budaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia masih berlaku walaupun universiti semakin banyak, profesor sudah ribuan, dan perpustakaan penuh dengan buku.
Sehubungan itu beliau berharap para pewaris negara tidak mudah hanyut dalam pemikiran sempit ini.
“Seharusnya kita mesti melahirkan generasi yang merdeka dalam fikiran, matang dalam pertimbangan, dan berani mengangkat idea yang menyelamatkan bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau berucap semasa merasmikan penutupan Festival Idea Putrajaya 2025.
UNTUK MEMBANGUNKAN GAGASAN
Beliau berkata semua pihak memikul tanggungjawab besar untuk membangunkan gagasan yang membela keadilan dan kemanusiaan, demi membina Malaysia yang hebat dan bermaruah.
Beliau juga mengingatkan hadirin, dalam apa jua kejayaan yang kita capai, jangan pernah lupa akar kita.
“Banggalah dengan budaya, asal-usul, dan keluarga sendiri, kerana di situlah letaknya kekuatan sebenar bangsa,” kata Anwar. – JM
