






Oleh: Sholina Osman
Foto Istana Arau
11 NOV. 2025
Kedutaan Besar Negara Jepun di Kuala Lumpur akan membantu memperkenalkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang beroperasi di Perlis untuk menggalakkan lebih ramai pelajar-pelajar dari negara matahari terbit tersebut berminat untuk datang menyambung pengajian di negeri ini.
Kedutaan Besar tersebut juga bersedia mempertimbangkan untuk menyambung kembali kerjasamanya dengan pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam program singkat pertukaran pelajar JENESYS yang telah tertangguh sejak Covid-19 melanda dunia.
Beberapa tahun lalu, YTSP Perlis menghantar ke Jepun melalui inisiatif ini seramai tiga orang peserta iaitu dari kalangan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar kelahiran Perlis setiap seorang dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang kini sudahpun dinaiktaraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
SEBANYAK DUA LAGI
Ia berkemungkinan ditambah sebanyak dua lagi institusi pengajian tinggi lain juga dari Perlis untuk tahun yang mendatang.
Pada masa yang sama, kerjasama baru antara salah sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dan pengkhususan dalam jurusan Pembangunan Wanita akan diikhtiarkan untuk berkolaborasi dengan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam masa yang terdekat ini.
YTF yang berslogankan ‘Women In Search Of Excellence’ pernah untuk beberapa edisi menghantar seramai enam orang peserta lulusan sarjana muda setiap tahun untuk menghadiri program di Josai International University (JIU), Tokyo.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Duta Besar Negara Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam majlis mengadap yang berlangsung di Kangar, semalam.
Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Setiausaha Kedua dari Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur, Masubuchi Kana.
TELAH MENABUR BAKTI
Sebagai rekod, Shikata merupakan seorang diplomat berpengalaman tinggi yang telah menabur bakti lebih daripada tiga dekad dalam pelbagai peranan penting di Kementerian Luar Negeri Jepun serta Pejabat Perdana Menteri Jepun.
Beliau merupakan lulusan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kyoto (1986) dan turut menamatkan pengajian dalam Program Sarjana Dasar Awam di John F. Kennedy School of Government, Universiti Harvard (1989), dua institusi tersohor yang telah membentuk asas kukuh kepada kepimpinan dan wawasan global beliau.
Sejak melangkah ke dunia diplomasi, Shikata telah membina kerjaya yang cemerlang serta memainkan peranan strategik dalam memperkukuh dasar luar Jepun, khususnya dalam bidang hubungan ekonomi, komunikasi antarabangsa, dan kerjasama dasar luar melibatkan Amerika Syarikat, Eropah, serta rantau Asia.
YANG PERNAH DISANDANG
Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau termasuk Penolong Setiausaha Akhbar dan Pengarah Bahagian Akhbar Antarabangsa, Kementerian Luar Negeri Jepun (2006), Timbalan Setiausaha Kabinet bagi Hal Ehwal Awam, Pejabat Perdana Menteri Jepun (2010), Menteri Politik di Kedutaan Jepun di United Kingdom (2012), Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Jepun di China (2017), dan Setiausaha Kabinet bagi Hal Ehwal Awam di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kishida (2021).
Pelantikan beliau sebagai Duta Besar Jepun ke Malaysia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Jepun untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, serta pertukaran budaya.
Dengan pengalaman luas dalam diplomasi antarabangsa dan dasar ekonomi, Shikata diyakini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama strategik Jepun–Malaysia, selaras dengan hasrat kedua-dua negara untuk mencapai kemakmuran bersama dan memacu pembangunan serantau yang mampan. – JM
