Raja Muda ucap tahniah, berbangga kejayaan beberapa sekolah di Perlis harumkan nama negeri

Oleh: Sholina Osman
12 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangga atas kejayaan cemerlang beberapa buah sekolah di negeri Perlis yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kebelakangan ini.

Sekolah Kebangsaan (SK) Long Boh mencatat kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai pemenang kategori antarabangsa (Global Category) dalam pertandingan Skytech sempena program Malaysia Techlympics.

Turut tidak ketinggalan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin dan SK Sri Indera berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Junior Innovathon pada 16 November 2025 yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), satu pengiktirafan terhadap kreativiti dan daya inovasi pelajar-pelajar muda Perlis.

MENCIPTA SEJARAH TERSENDIRI

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khoon Aik, Kangar turut mencipta sejarah tersendiri apabila akan mewakili Malaysia ke pertandingan World Robot Olympiad International 2025 yang dijadual berlangsung di Singapura dari 25 hingga 29 November 2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan dan ucapan syabas kepada semua guru pembimbing, ibu bapa serta para pelajar yang menunjukkan kesungguhan dan semangat tinggi dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi.

Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar Perlis berpotensi besar untuk bersaing di pentas global apabila diberi bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

IA MENJADI INSPIRASI

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Semoga ia menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik dan pelajar lain di negeri Perlis untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” titah Baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Kechor, Kangar.

Kayuhan amal ini merupakan inisiatif berterusan berimpak tinggi yang menggabungkan elemen sukan, kebajikan dan dakwah dalam satu program menyeluruh.

UNTUK MENYALURKAN BANTUAN

Ia bukan sekadar aktiviti berbasikal semata-mata, tetapi turut menjadi wadah untuk menyalurkan bantuan dan menyantuni golongan asnaf serta masyarakat memerlukan di seluruh negeri Perlis.

Melalui pendekatan turun padang seperti ini, MAIPs berusaha mendekati golongan sasaran dengan lebih mesra, efektif dan berperikemanusiaan, sekali gus menzahirkan komitmen dan keprihatinan berterusan terhadap kesejahteraan ummah.

Sempena kayuhan edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima iaitu Zamri Ramli, 55, dari Kampung Behor Empiang; Azlina Adnan, 46, dari Kampung Jalan Kaki Bukit; dan Syukri Abu Bakar, 61, dari Kampung Kechor. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *