Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 NOV. 2025

Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.

Beliau berkata selain itu usaha memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu, sejajar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

MEMPERKUKUH SISTEM TENAGA

“Matlamatnya untuk memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 pada hari ini terkait Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan dan bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah NGR.

KETERJAMINAN TENAGA NEGARA

Jelas beliau ia bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

Selain itu, kata beliau mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Serta meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *