Ethiopia buktikan kekuatan sesebuah negara bukan hanya kuasa tetapi melindungi, memuliakan insan – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 NOV. 2025

Ethiopia membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak hanya pada kekuasaan, tetapi pada kesanggupan melindungi dan memuliakan insan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau membawa semangat itu ke forum perniagaan hari ini, sambil menegaskan kerjasama ekonomi tidak semata angka dan kontrak, tetapi wahana memperluas kepercayaan, empati dan manfaat bersama.

Jelas beliau sama seperti Raja Najashi menerima hijrah dengan jiwa yang besar, Malaysia hadir ke Afrika dengan keinginan untuk membina jambatan yang adil, inklusif dan mampan.

UNTUK PELABURAN HIJAU

“Kita membuka ruang untuk pelaburan hijau, teknologi digital, pertanian moden, tenaga boleh baharu, dan akses ke rantau ASEAN yang dinamik,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar bertemu dengan pelabur dan penggerak industri Ethiopia-Malaysia mengenai kerjasama yang lebih berani dan bermakna.

Beliau berharap dengan pertemuan hari ini menjadi pemangkin dan pemetaan baharu yang berpaksi pada kemanusiaan, diperkasa melalui inovasi, yang akhirnya menjanjikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sahabat.

DUNIA YANG SARAT

Dalam dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, kita perlukan rakan yang teguh, jujur, dan saling mendukung. Itu yang saya saksikan di sini, iaitu negara dengan sejarah, semangat dan masa depan yang luar biasa,” kata Anwar.

Beliau berkata di bumi ini juga seperti disaksikan sejarah berlakunya penghijrahan terawal umat Islam dari Mekah ke Habsyah yang mencari perlindungan dari kezaliman kaum Quraisy di Mekah.

“Raja Najashi menyambut mereka dengan hati yang terbuka dan melindungi dengan prinsip kemanusiaan dan kasih sayang,” tambah Anwar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *