



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 NOV. 2025
Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan untuk dieksport ke Ethiopia selain tawaran kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran.
“Kami juga bersepakat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET dan penyelidikan, di samping meneruskan sokongan Malaysia terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui MTCP,” kata beliau dalam hantaran di FB.
PERTEMUAN EMPAT MATA
Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia Dr. Abiy Ahmed Ali sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang sarat dan penuh makna.
“Kami juga memperteguh tekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” jelas Anwar.
Beliau berkata Malaysia juga menyambut baik kemajuan nyata termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama dan keterhubungan antara kedua-dua negara.
MENEKANKAN POTENSI BESAR
“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara,” tambah beliau.
Selain itu kata Anwar Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan.
Perdana Menteri juga menghargai sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.
Beliau yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing. – JM
