Sumbangan siswazah UniMAP akan menjadi benih kepada pembangunan universiti serta negara – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
23 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dunia hari ini menuntut para siswazah yang bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi mampu mencipta penyelesaian baharu terhadap pelbagai cabaran masyarakat.

Inovasi dalam bidang kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, berpotensi menjadi pemangkin kepada penubuhan hospital universiti yang berasaskan teknologi tempatan.

Baginda turut mengingatkan bahawa dalam keghairahan mengejar kemajuan, jangan sekali-kali kita hilang rasa empati dan tanggungjawab terhadap sesama manusia.

MEMILIKI KECERDASAN MINDA

Graduan yang berjaya bukan sekadar memiliki kecerdasan minda, tetapi juga kebijaksanaan hati yang memahami makna sebenar khidmat kepada umat.

“Siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menyedari bahawa setiap bidang sama ada kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan atau bioperubatan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada kesejahteraan manusia.

Sumbangan saudara dan saudari kelak akan menjadi benih kepada pembangunan universiti serta negara,” titah Baginda.

MELALUI RAKAMAN VIDEO

Titah tersebut disampaikan melalui rakaman video sempena Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen 20 UniMAP yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Pada istiadat berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis konvokesyen pada sesi petang itu.

Turut berangkat ialah Pro Canselor 2 UniMAP yang baharu dilantik berkuat kuasa 22 November 2025, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Sufri Mhd Zin, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Seramai 478 graduan daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik serta Fakulti Komputeran Cerdasan (FKC) menerima penganugerahan pada sidang kedua tersebut. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *