Kuala Lumpur-Nairobi nyata hasrat kerjasama perkukuh perkongsian pengetahuan, inovasi bandar

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
24 NOV. 2025

Pemeterian surat niat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Nairobi City County Government menjadi asas kepada hubungan antara bandar yang berteraskan pembangunan inklusif, kemampanan serta pertukaran pengetahuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kerjasma ini akan melibatkan bidang tujahan penting, iaitu, pelancongan dan budaya, pembangunan komuniti bandar, pemerkasaan kemahiran dan kepakaran, pengurusan sisa, ekonomi kitaran serta perancangan bandar yang lebih tersusun.

“Ia membuka ruang kepada pertukaran idea dan maklumat yang dapat memperkukuh hubungan teknikal serta kefahaman bersama,” kata Dr Zaliha dalam hantaran di FB.

PERTUKARAN SURAT NIAT

Majlis pertukaran surat niat itu berlangsung antara Dr Zaliha dan Setiausaha Kabinet Kenya, Kementerian Hal Ehwal Belia, Ekonomi Kreatif dan Sukan Salim Mvurya yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya William Samoei Ruto.

Dr Zaliha dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kenya.

Dr Zaliha berkata Nairobi mempunyai kedudukan strategik di Afrika Timur di mana merupakan pusat kewangan, teknologi dan diplomasi serantau serta lokasi kepada banyak pertubuhan antarabangsa.

“Kedudukan ini memberi peluang kepada Kuala Lumpur untuk memanfaatkan pengalaman Nairobi dalam aspek pengurusan bandar dan inovasi,” kata Dr Zaliha.

Beliau berkata kerjasama ini akan melengkapi pelaksanaan visi Bandar CHASE di Wilayah Persekutuan yang turut memberi tumpuan kepada perancangan masa depan, ketahanan bandar dan pengukuhan rangkaian global. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *