Manifesto PH : 40 peratus hasilan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah

Oleh Helmi Mohd Foud
(Sorotan PRN Sabah ke-17)

24 November 2025

SABAH : Komitmen menguruskan 40 peratus hasil Sabah menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) dengan memperincikan 10 perkara bakal dilaksanakan melalui dana itu sekiranya memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 November ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud ketika melancarkan manifesto PH bertemakan “Harapan Urang Sabah” turut menyenaraikan lapan agenda bakal dilaksanakan untuk rakyat Sabah.

“Ini merupakan satu deklarasi jelas bahawa Pakatan Harapan bersedia membawa agenda pembangunan yang konsisten, realistik dan berpaksikan rakyat.

“Apa yang kami tekankan hari ini ialah kesinambungan kerja dan komitmen ini adalah hasil yang sudah bermula dan mesti diteruskan demi masa depan rakyat Sabah,” kata beliau.

Turut hadir Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

PH TIDAK JANJIKAN BULAN BINTANG
TETAPI KEMBALI KEPADA PERKARA ASAS

Mustapha berkata, komitmen itu berasaskan aspirasi sebenar Sabah yang mahu merasai kemajuan yang sepatutnya mereka nikmati.

“PH tak janjikan bulan dan bintang tetapi kembali kepada perkara asas iaitu dengan pendekatan berani dan radikal,” katanya.

Dalam manifesto tersebut, beliau menjelaskan PH Sabah memberikan komitmen untuk menguruskan dana 40 peratus hasil Sabah dengan menyegerakan pembinaan empangan, penyelesaian isu bekalan elektrik, pembinaan rumah mampu milik, taman industri baharu dan merancakkan sektor pelancongan.

Selain itu katanya dana tersebut juga akan digunakan bagi tujuan membina jalan serta jejambat baharu, pendidikan percuma, penaiktarafan pelabuhan serta agenda mobiliti seperti perkhidmatan rel, KK Light Rail sebagai langkah konkrit untuk membina Sabah yang lebih stabil, moden dan berdaya saing.

PH turut memperkenalkan inisiatif SARATUS iaitu program bantuan kerajaan negeri dengan menyediakan RM100 setiap tahun kepada semua warga Sabah berumur 18 tahun ke atas dalam memastikan sokongan yang adil dan saksama tanpa diskriminasi.

MEMBANTU KELUARGA MENGURUSKAN PERBELANJAAN

Inisiatif tersebut membantu keluarga mengurus perbelanjaan penting seperti barang runcit, keperluan harian dan barangan rumah sekaligus meringankan beban dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup, katanya.

“Apa yang kami tekankan hari ini ialah kesinambungan kerja dan komitmen ini adalah hasil yang sudah bermula dan mesti diteruskan demi masa depan rakyat Sabah,” jelasnya lagi.

Pada PRN Sabah ke-17, PH bertanding di 21 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan 12 calon KEADILAN, DAP (lapan) dan Amanah (satu).

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal berlangsung pada 25 November.

MANIFESTO PH SABAH – “40% UNTUK RAKYAT”

  1. Air: Empangan & Infrastruktur

Mempercepat pembinaan empangan baharu untuk menjamin bekalan air jangka panjang.

Mengganti paip lama dan menaik taraf sistem agihan bagi mengurangkan kebocoran dan gangguan bekalan.

Penyelenggaraan sistematik untuk memastikan semua isi rumah mendapat air bersih secara konsisten.

  1. Elektrik: Tiada Lagi Mati Karan

Meluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, biojisim, SMR dan BESS.

Membina loji janakuasa moden di Pantai Timur untuk menambah kapasiti baseload dan menamatkan gangguan elektrik.

  1. Jalan Raya & Jejambat

Pembaikan jalan rosak secara segera dengan kaedah dan bahan lebih tahan lama.

Membina jalan raya dan jejambat baharu di kawasan tumpuan bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan mobiliti.

  1. Pendidikan Tinggi Percuma

Menyediakan yuran pengajian percuma kepada pelajar Sabah yang layak.

Melabur dalam pembangunan modal insan untuk menyediakan tenaga kerja mahir dan meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

  1. SARATUS: Bantuan Tunai Tahunan

Bantuan RM100 setiap tahun untuk semua warga Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Menyokong perbelanjaan asas keluarga dan merancakkan ekonomi tempatan melalui perbelanjaan komuniti.

  1. Rumah Mampu Milik

Membina rumah mampu milik bernilai bawah RM250,000 dengan mengutamakan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan B40.

Menggunakan teknologi pembinaan modular dan pratuang untuk mempercepat pembinaan dan mengurangkan kos.

  1. Pelancongan dan Acara Besar

Menaik taraf kemudahan pelancongan seperti pusat ekopelancongan, tarikan budaya dan kemudahan awam.

Mengembangkan ekonomi berasaskan acara dengan konsert, festival, ekspo dan aktiviti besar untuk menarik pelawat dan merangsang ekonomi tempatan.

  1. Pelabuhan & Ekonomi Sempadan

Menambah baik pelabuhan di Kudat, Sandakan dan Tawau untuk mengurangkan kos logistik dan meningkatkan perdagangan.

Menjadikan Tawau hab ekonomi sempadan strategik dengan Indonesia, memacu pelaburan dan peluang pekerjaan.

  1. Taman Perindustrian Bersepadu

Membangunkan taman perindustrian moden yang mesra pelabur bagi menarik sektor teknologi tinggi.

Memperkukuh industri hiliran untuk meningkatkan nilai tambah sumber asli Sabah dan membuka lebih banyak pekerjaan mahir.

  1. Sistem Rel Ringan KKLR & Jalan Satu Hala

Membina sistem rel ringan KKLR untuk mengurangkan trafik dan meningkatkan pengangkutan awam di Greater Kota Kinabalu.

Melaksana sistem jalan sehala di pusat bandar Kota Kinabalu bagi memastikan operasi rel lebih lancar dan mengurangkan kesesakan.

  1. 40% Untuk Rakyat

PH Sabah komited memastikan setiap sen hasil negeri dikembalikan kepada rakyat melalui projek infrastruktur kritikal seperti pembinaan empangan, penggantian paip uzur, penyediaan tenaga stabil tanpa gangguan, jalan dan jejambat baharu, pendidikan tinggi percuma, bantuan SARATUS, rumah mampu milik dan pengukuhan sektor pelancongan serta pelabuhan.

  1. Hak Sabah Terjamin

Menubuhkan Sabah Sovereign Wealth Future Fund sebagai dana warisan untuk generasi akan datang. Dana ini diurus secara profesional, dilapor kepada Dewan Undangan Negeri dan digunakan bagi manfaat jangka panjang rakyat Sabah.

  1. Akauntabiliti Kerajaan

Memperkasa ketelusan pentadbiran melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN yang boleh memanggil GLC dan agensi kerajaan untuk sesi soal jawab terbuka.

  1. Reformasi Pentadbiran Sabah

Menyusun semula kabinet negeri bagi meningkatkan produktiviti, mempercepat proses kerja kerajaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

  1. Aspirasi Anak Muda

Mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan berkualiti serta Elaun Sara Hidup RM1,200 untuk siswa terpilih bagi memastikan belia Sabah mendapat masa depan ekonomi yang lebih stabil.

  1. Pemerkasaan Ekonomi Nilai Tinggi

Membangunkan industri hiliran berteknologi tinggi merangkumi minyak & gas, kayu balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim dan pemprosesan makanan untuk mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan nilai ekonomi.

  1. Agenda Pemerkasaan Wanita

Menetapkan sasaran 30% penyertaan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan bagi memperkukuh peranan wanita sebagai pembuat dasar dan pemimpin masyarakat.

  1. Negara Maju Bersama Malaysia MADANI

Mengukuhkan hubungan erat Sabah–Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah membangun secara inklusif, moden dan seiring dengan agenda Malaysia MADANI.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *