






Oleh: Sholina Osman
26 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya para siswazah menjadi insan yang menyebarkan kasih serta menyemai persefahaman sebagai membuktikan golongan cendekiawan telah diasuh dengan acuan ketinggian budi dan integriti.
Baginda bertitah dengan ilmu dan kebijaksanaan yang dimiliki ini wajar dimanfaatkan untuk mempererat ukhuwah, bukan menjarakkan jurang.
Raja Muda turut menzahirkan keyakinan yang tinggi bahawa para graduan universiti merupakan generasi pewaris masa hadapan yang akan meneruskan perjuangan membangunkan tanah air melalui inovasi serta pemikiran baharu.
TELAH MEMPEROLEH PEKERJAAN
“Ada dalam kalangan para siswazah yang telah memperoleh pekerjaan, dan ada yang masih berusaha mencari peluang ini
Saya memahami bahawa setiap daripada kita mahukan pendedahan dan pengalaman.
Namun, saya ingin menyeru kepada anda semua supaya dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang, kembangkanlah kerjaya masing-masing dengan mewujudkan kerjaya kedua melalui bidang perniagaan,” titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor menerusi rakaman video sempena Sidang Keenam Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
MENYEMPURNAKAN MAJLIS KONVOKESYEN
Pada istiadat berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP, berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis konvokesyen pada sesi petang tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Pada sidang itu, seramai 529 graduan daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) menerima penganugerahan masing-masing. – JM
