






Oleh: Sholina Osman
30 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri ‘International Congress on Advances in Autism, Neurodevelopmental and Neurodegenerative Disorders (ICAANND 2025)’ di Glamhall, Damansara.
Berkenan berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi dan Ketua Saintis Yayasan Kesihatan Perkembangan Neuro Malaysia, Prof. Datuk Sri Dr. Mike Chan selaku penganjur.
MENGHIMPUNKAN PAKAR PERUBATAN
Kongres antarabangsa ini menghimpunkan pakar perubatan, penyelidik dan pengamal profesional dari dalam dan luar negara, dengan fokus kepada autisme, gangguan perkembangan saraf, dan penyakit neurodegeneratif.
ICAANND 2025 bertujuan untuk berkongsi perkembangan penyelidikan terkini, inovasi rawatan dan strategi intervensi bagi meningkatkan kualiti hidup individu yang mengalami kondisi neuro-perkembangan dan neurodegeneratif.
Dalam ucapannya, Prof. Chan menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu Institusi Diraja Perlis, khususnya Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda serta memuji usaha pembangunan A-HEART Autism Hub di Perlis sebagai model pusat autisme progresif di negara ini menjelang 2028 nanti.
PENYERTAAN AKTIF PAKAR
Kongres dua hari itu menyaksikan penyertaan aktif pakar perubatan, pengamal perubatan komplementari, penyelidik neuroperkembangan dan pengamal intervensi awal, dengan pelbagai pembentangan termasuk kajian kes, protokol rawatan dan amalan terkini.
Prof. Chan juga mendedahkan rancangan menubuhkan yayasan bukan berasaskan keuntungan khusus untuk kanak-kanak autisme, yang akan menumpukan kepada latihan klinikal rentas negara, perkongsian protokol berasaskan bukti dan sokongan keluarga berpendapatan rendah.
Sebagai rekod, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerajui beberapa inisiatif komuniti, termasuk program intervensi pendidikan dan kebajikan sosial.
DALAM PEMBANGUNAN A-HEART
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akahsah selaku Tuanku Pro Canselor terus memainkan peranan utama dalam pembangunan A-HEART Autism Hub, dalam usaha untuk menyediakan latihan profesional, outreach komuniti, pengesanan awal dan sokongan keluarga di utara tanah air melalui kerjasama UniMAP, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Prof. Chan menyifatkan kehadiran Tuanku berdua sebagai “detik penting” yang berpotensi merangsang kerjasama nasional dalam memperkukuh intervensi awal dan penjagaan autisme berasaskan bukti.
Lawatan ini juga termasuk tinjauan ke A-HEART Autism Hub dan perbincangan strategik bersama Institusi Diraja Perlis bagi memperkukuh ekosistem sokongan autisme di Malaysia. – JM
