Air Tangan Suri Hati TYT Sarawak Semarakkan Sentuhan Tradisi Dalam Demonstrasi Masakan

KUCHING, 30 Nov – Program Air Tangan Suri Hati TYT Sarawak hari ini berlangsung dengan penuh mesra dan meriah melalui demonstrasi masakan yang menampilkan menu tradisi rakyat Sarawak.

Ketibaan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut mesra sebelum beliau dibawa ke ruang demonstrasi masakan.

Demonstrasi pada hari ini dikendalikan dengan iringan isteri Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merangkap Pengerusi PUSPANITA FAMA, Salina Nawi, yang mengetengahkan tiga menu istimewa iaitu Sup Ayam, Sardin, dan Midin Goreng Belacan.

Program ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan hidangan tempatan, malah menjadi platform memperkukuhkan hubungan antara masyarakat, agensi dan badan-badan wanita melalui aktiviti kulinari yang dekat di hati rakyat.

Toh Puan kemudiannya turut membuat lawatan ke reruai pameran yang disediakan, seperti reruai FAMA yang mempromosikan kempen ‘Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran’, AGRO Bank, perkhidmatan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta pelbagai agensi lain.

Turut hadir ialah Bendahari Agung SABATI; Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin; Ketua Pengarah FAMA; Abdul Rashid Bahri, Pengarah FAMA Negeri Sarawak; Norsalawaty Abdul Kadir serta tetamu-tetamu jemputan lain. -TAMAT-

Disediakan oleh : Nur Alya Adriana Ahmad Sukri (BMKK)
Foto : Cassidy Lisut (BKVS)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *