PMX terima kunjungan hormat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 DIS. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan mendengar pembentangan Laporan Tahunan mereka buat kali pertama.

Beliau berkata laporan ini merangkumi penelitian serta pemeriksaan anggota JKmR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2021 hingga 2024.

“Ia membolehkan JKmR mengenal pasti trend dan perkembangan semasa terkait usaha pencegahan rasuah dan cabaran yang dihadapi SPRM,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar juga akan mengemukakan Laporan Tahunan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, di samping membincangkannya secara mendalam bersama pengurusan SPRM.

KOMITMEN KERAJAAN MADANI

Jelas beliau komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak.

Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung, dan keyakinan rakyat diperteguh.

“Insya-Allah kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *