Info Ringkas:(1 Dis 2025)

PEMBENTANGAN DAN PENYERAHAN LAPORAN TAHUNAN JKmR TAHUN 2024 KEPADA YAB PERDANA MENTERI

Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) hari ini membentangkan dan menyerahkan Laporan Tahunan JKmR Tahun 2024 kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaras dengan tanggungjawabnya yang diperuntukkan di bawah seksyen 14, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], iaitu menasihati YAB Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia.

Pembentangan tersebut merangkumi penelitian JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM yang meliputi aspek penguatkuasaan, pencegahan, dan pengurusan serta dapatan pemeriksaan daripada ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi tahun 2024.

JKmR turut mengemukakan syor-syor kepada YAB Perdana Menteri berkaitan usaha memperkukuh keberkesanan SPRM secara menyeluruh dan holistik, selaras dengan usaha negara membanteras rasuah dan memantapkan integriti pentadbiran awam termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR).

JKmR menzahirkan harapan agar setiap cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini diberi pertimbangan sewajarnya dan diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak serta menyeluruh demi kepentingan negara.

Ahli-ahli JKmR yang juga wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM melaksanakan mandatnya.

Orang ramai boleh berbuat sedemikian dengan mengemukakan pandangan atau cadangan melalui e-mel di alamat berikut: jkmr@sprm.gov.my.

JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH (JKmR)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

1 DISEMBER 2025

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *