Panggilan “Christy” menjerat pengusaha restoran di Jerantut sehingga rugi RM783,000

Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2025

Panggilan dari “Christy” yang menjanjikan pelaburan berlipatkali ganda akhirnya membuatkan seorang pengusaha restoran di Jerantut mengalami kerugian RM783,000.00.

Ini semua gara-gara mahu untung dengan segera tetapi telah menjeratkan diri dalam skim pelaburan yang tidak wujud.

Perbuatan “scammer” ini didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob setelah mangsanya seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada 17 September 2025.

Dalam laporan itu mangsa mendakwa telah diperdaya melalui iklan pelaburan saham “Nexispeak Global” di aplikasi Facebook (FB).

MELALUI APLIKASI WHATSAPP

Bermula dari FB, mangsa kemudiannya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai “Christy”.

Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan harian sekitar RM550.00 hingga RM600.00.

Pelaburan ini menawarkan kadar keuntungan sehingga 85 peratus kepada pelabur.

Mangsa juga diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai “WHG Roup” kononnya bagi tujuan paparan urus niaga dan pemantauan pelaburan saham tersebut.

23 KALI TRANSAKSI

Berikutan itu di antara 20 Oktober 2025 hingga 7 Disember 2025, mangsa telah membuat 23 kali transaksi ke lima akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM783,000.00.

Selepas semua pembayaran dilakukan, mangsa masih gagal untuk mengeluarkan wang keuntungan, sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan atas alasan bayaran IPO.

Pada ketika ini mangsa mula menyedari bahawa dirinya sudah ditipu.

Tambahan pula sumber kewangan mangsa adalah melibatkan wang simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga, hasil jualan barang kemas serta lebihan bayaran dua buah rumah.

BERWASPADA DENGAN PELABURAN

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.

Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *