



Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2025
Peringatan untuk ibu bapa, jangan sesekali leka dengan aplikasi permainan atau “game” yang didownload di dalam telefon bimbit anak masing-masing.
Apa yang dibimbangkan apabila aplikasi permainan ini walaupun khusus untuk kanak-kanak tetapi ada yang sengaja menyelitkannya dengan elemen-elemen yang membawa kepada perbuatan tidak bermoral.
Perkara ini telah tular sehingga telah diperbincangkan oleh netizen di Threads mengenai permainan aplikasi “Move People” di iOS dan Android yang khusus untuk umur 12 tahun ekoran luahan hati seorang ibu Anna Talita Nafrizon di akaun FBnya.
DALAM BEBERAPA TAJUK
Wartawan Jendela Madani juga melihat sendiri aplikasi “Move People” ini di mana ia terdapat dalam beberapa tajuk termasuk “Hug Boyfriend” di mana permainan ini menggerakkan objek lelaki dan wanita secara langkah demi langkah sehingga keduanya saling berkucupan.
Sekalipun ia berbentuk permainan tetapi dalam masa yang sama telah mula mengajar anak-anak kecil untuk mempelajari bagaimana teknik melakukan perbuatan tidak bermoral ini.
Anak Anna ini antara kanak-kanak yang “terjebak” dalam permainan “Move People” bertajuk “Hug Boyfriend”.
Anna menceritakan pengalamannya ini supaya para ibu bapa berjaga-jaga dalam apa sahaja aplikasi permainan yang didownload oleh anak-anak.
SEDANG LEKA BERMAIN
Kebetulan beliau ternampak anaknya sedang leka bermain satu permainan yang agak mengejutkan apabila objek lelaki dan wanita yang digerakkan ke arah melakukan perbuatan tidak bermoral.
Bagaimanapun kata Anna, anaknya dilihat segera memadamkan permainan ini kerana takut dikesan.
Anna mula naik angin apabila dilihat anaknya cuba menyorokkan sesuatu perbuatan yang juga disedarinya adalah salah.
Kebetulan kejadian itu berlaku di dalam kereta, maka Anna nekad membawa anaknya ke balai polis bagi tujuan untuk “mengertak” kerana beliau perasan sejak akhir-akhir ini anaknya tidak boleh berpisah dengan telefon.
POLIS MEMAHAMI KEADAAN
Anna berpuas hati apabila polis memahami keadaan ini dan memberikan kerjasama yang baik supaya anaknya insaf serta berjanji tidak akan menggunakan sebarang alat peranti lagi termasuk telefon bimbit.
Ternyata “gertakan” ini berjaya kerana semenjak itu anaknya langsung tidak lagi menyentuh telefon bimbit.
Ibu ini bersyukur kerana sempat menyelamatkan anaknya yang baharu “bermula” dengan permainan yang tidak bermoral itu telah dikesan dengan lebih awal.
Dalam kemas kini hantaran itu, Anna bersyukur selepas 10 hari dibawa ke balai polis, anaknya langsung tidak meminta lagi sebarang alat peranti mahupun telefon bimbit.
TIDAK MENUNJUKKAN SIKAP
Malah kata ibu muda ini anaknya juga tidak menunjukkan sikap memberontak, menangis tidak tentu pasal hanya kerana mahukan alat peranti atau telefon.
Beliau akui tidak menyesal “mengertak” sehingga ke balai polis demi kebaikan anaknya yang disifatkan cara ini sangat berkesan.
Anna berharap perkongsian ini sebagai pengajaran kepada para ibu bapa untuk sentiasa pantau dari semasa ke semasa supaya dapat tahu apa yang anak-anak “download”.
Jelas beliau dengan pelbagai jenis aplikasi permainan di telefon ini menjadikan tugas ibu bapa masa kini lebih mencabar, tetapi tidak boleh mengalah demi untuk melindungi mereka. – JM
