PERDANA PETROLEUM, PEMAIN INDUSTRI MINYAK & GAS PERTAMA PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI MELALUI BENGKEL ANTI-RASUAH DI ATAS KAPAL OPERASINYA DI LABUAN

LABUAN, 16 Disember – Perdana Petroleum Berhad terus memperkukuh komitmennya terhadap pembudayaan integriti dan tadbir urus korporat yang baik menerusi penganjuran Program Ceramah dan Bengkel Integriti serta Anti-Rasuah yang berlangsung di atas barge Perdana Emerald di perairan Labuan.

Program separuh hari yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari telah disertai oleh seramai 35 orang kakitangan operasi daripada beberapa buah kapal di bawah pengurusan syarikat, iaitu Protector, Adventurer, Traveller, Resolute, Endurance, Excelsior dan Sovereign. Penganjuran program ini turut dilaksanakan secara hibrid, melibatkan penyertaan kakitangan dari pejabat Perdana Petroleum Berhad di Labuan, Miri dan Kuala Lumpur.

Pengisian program dimulakan dengan ceramah antirasuah selama dua jam yang disampaikan oleh PKPj Westmoreland Ajom, Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat yang menekankan kepentingan pematuhan undang-undang, pencegahan rasuah, salah guna kuasa serta pengurusan konflik kepentingan, khususnya dalam konteks operasi maritim dan industri minyak dan gas yang berisiko tinggi.

Program kemudiannya diteruskan dengan sesi bengkel interaktif selama dua jam yang dikendalikan oleh PsK Augustine S. Manson @ David dari SPRM Labuan bersama PKPs Nik Lokman Hakim Bin Nik Mohd Nor daripada Cawangan Swasta. Sesi bengkel tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk membincangkan kajian kes, senario sebenar serta cabaran integriti yang berpotensi berlaku dalam operasi harian, di samping mengenal pasti langkah-langkah pencegahan yang berkesan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Perdana Petroleum Berhad dalam membina persekitaran kerja yang beretika, telus dan bertanggungjawab, selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik serta keperluan pematuhan dalam industri minyak dan gas.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *