Rakyat Malaysia disaran tangguh dulu lawatan kurang perlu ke kawasan sempadan Thailand-Kemboja

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
21 DIS. 2025

Rakyat Malaysia disarankan agar menangguhkan lawatan kurang perlu ke kawasan sempadan Thailand-Kemboja.

Selain itu perlu mendaftar melalui e-mel keberadaan mereka dengan pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Juga menyimpan nombor telefon Kedutaan atau Konsulat Jeneral Malaysia bagi memudahkan mereka menghubungi untuk tujuan bantuan konsular jika perlu ketika berada di Thailand.

SENTIASA DALAM SIMPANAN

Rakyat Malaysia juga disarankan untuk memastikan dokumen-dokumen perjalanan sentiasa dalam simpanan yang selamat, dan berwaspada dengan agen-agen perkhidmatan pelancongan tempatan yang cuba menawarkan perkhidmatan dengan kadar yang tinggi atau individu yang menjurus kepada aktiviti penipuan.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dikongsikan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah di Bangkok selepas beliau menerima simbolik ‘Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs’ daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Muda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan juga anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berangkat ke Bangkok sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025.

MUSIM CUTI SEKOLAH

Menurut Datuk Wan Zaidi, di musim cuti sekolah ini ramai rakyat Malaysia yang akan melancong ke Thailand samada ke Bangkok atau pun ke selatan Thailand.

Ketika ini tiada nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia kepada rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Bangkok, mahupun ke wilayah selatan Thailand.

Bangkok merupakan satu destinasi yang selamat meskipun terdapat kebimbangan daripada krisis dan pertempuran di sepanjang sempadan Thailand dan Kemboja, manakala wilayah selatan Thailand pula baru-baru ini terjejas teruk akibat banjir besar di sana.

Sebagai langkah berjaga-jaga, rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara jiran berkenaan juga diingatkan supaya memeriksa amaran atau ramalan kaji cuaca sebelum memulakan perjalanan, mengambil insuran kesihatan bagi mengelakkan kerugian besar sekiranya jatuh sakit dan memerlukan rawatan tempatan, termasuklah membeli insuran pelindungan bencana atau banjir bagi pelawat yang membawa masuk kenderaan sendiri ke Thailand. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *