






Oleh: Sholina Osman
22 DIS. 2025
Negeri Perlis perlu memberi fokus untuk memanfaatkan lokasi strategiknya untuk mendapatkan pelbagai perniagaan baharu melalui perdagangan dua hala Malaysia dan Thailand yang berjumlah lebih USD24 billion.
Negara berjiran ini saling lengkap melengkapi dengan jumlah import dan eksport yang seimbang. Ia juga membuka ruang kerjasama yang luas kepada kedua-dua negara.
Peluang kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand ini adalah amat luas disebabkan negara tersebut adalah negara jiran yang paling hampir beserta jaringan perhubungan yang sangat banyak dan baik.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis yang diadakan selama tiga hari di Restoran Phrigkiao @ Siam di 410/5-6 Siam Square Soi 6, Khwaeng Pathum Wan, Bangkok 10330.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan juga anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengarah restoran makanan Thai Halal tersebut, iaitu Muhd Shahrizal yang berasal dari Malaysia dan rakan kongsi beliau, Sarith dari Thailand.
PROMOSI MAKANAN PERLIS
Promosi Masakan Perlis ini dianjurkan oleh pihak Pengurusan restoran berkenaan yang telah beroperasi sejak lebih daripada dua tahun yang lalu dan dibuka dari jam 11 pagi hingga 11 malam dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi memperkenalkan negeri Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada di Bangkok sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirai pada sabtu.
Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah yang turut hadir di program tersebut berkongsi bahawa
‘Antara bidang kerjasama yang wajar diterokai termasuklah di bidang ekonomi, industri tempatan, pendidikan, pelancongan, teknologi pertanian dan pemasaran’.
Menurut Datuk Wan Zaidi, ‘Dalam bidang pendidikan umpamanya, Bangkok mempunyai pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Chulalongkorn yang terkenal dalam bidang penyelidikan, alam sekitar dan industri; Universiti Mahidol tersohor dalam perubatan, serta Universiti Thammasat bagi jurusan ekonomi dan sains sosial’.
Dalam sektor pertanian pula, jelas beliau, ‘Kerjasama boleh dipertingkatkan dalam kemajuan penyelidikan, pengurusan perkebunan secara kontrak, pemprosesan hasil dan juga pemasaran produk-produk pertanian’. – JM
