



Wartawan JM
24 DIS. 2025
Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai Juara Keseluruhan Festival Kesenian dan Kebudayaan Kolej-kolej Kediaman (FREKUENSI) 2025.
Sekaligus ia mencatatkan kejayaan dua tahun berturut-turut dalam festival kesenian yang berlangsung selama tiga hari, dari 19 hingga 21 Disember 2025.
Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata FREKUENSI ialah festival kesenian peringkat universiti yang menjadi platform untuk mengangkat bakat mahasiswa, mengasah kreativiti serta memperkukuh keyakinan diri melalui pelbagai cabang seni seperti nyanyian, drama, tarian dan muzik.
KOKURIKULUM DAN KESENIAN
Katanya, program ini juga menekankan keseimbangan antara akademik, kokurikulum dan kesenian, selain menggalakkan disiplin, kerjasama dan dedikasi dalam kalangan mahasiswa.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan KAHS yang menjuarai FREKUENSI 2025 untuk dua tahun berturut sekali gus membuktikan kreativiti dan komitmen mampu mengukir kejayaan mahasiswa dalam semua bidang menjadi faktor kejayaan kolej.
Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail berkata komitmen dan usaha mahasiswa sepanjang latihan dan persiapan memberi sumbangan besar kepada pencapaian ini.
DISIPLIN DAN DEDIKASI
“Penyertaan di FREKUENSI 2025 mencerminkan disiplin dan dedikasi pelajar dalam menguruskan latihan serta persembahan mereka,” ujarnya.
KAHS berjaya meraih Johan bagi empat acara utama iaitu Sajak, Battle of the Band, Drama Sebabak dan Dikir Barat, selain memperoleh Naib Johan dalam acara Kompang, Aerodance, Tarian Zapin dan Nasyid, serta Tempat Ketiga bagi kategori Syair dan Nyanyian Solo Lelaki.
Ketua Felo KAHS, Haikal Musa, bersama rakan felo Fakrullah Farrok, berperanan sebagai penasihat kepada peserta, memastikan latihan dan penyertaan KAHS berjalan lancar.
Kejayaan dua tahun berturut-turut ini menegaskan kedudukan KAHS sebagai peneraju bidang kesenian universiti dan menjadi asas untuk mengekalkan prestasi cemerlang menjelang FREKUENSI 2026. – JM
