LAPORAN PENCAPAIAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI 2025Keselamatan Diperkukuh, Rakyat Dilindungi

27 Disember 2025

Sepanjang tahun 2025, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus komited memperkukuh keselamatan negara, memelihara ketenteraman awam dan memastikan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan utama.

Antara pencapaian utama yang direkodkan termasuk penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 12%, peningkatan kecekapan perkhidmatan barisan hadapan dengan pengurangan masa menunggu di kaunter imigresen sehingga 30%, serta kejayaan melaksanakan lebih 250 operasi bersepadu bagi mengekang ancaman jenayah rentas sempadan, ekstremisme dan penyeludupan.

Transformasi digital di pintu masuk negara turut memperlihatkan hasil memberangsangkan apabila pelaksanaan sistem autogate generasi baharu berjaya mengurangkan purata masa pelepasan penumpang daripada 3 minit kepada hanya 45 saat, sekali gus meningkatkan kelancaran urusan rakyat dan pelawat antarabangsa.

Dalam usaha membanteras dadah dan jenayah terancang, KDN bersama agensi penguatkuasaan berjaya menumpaskan 35 sindiket, merampas dadah bernilai RM1.2 bilion, serta melaksanakan lebih 5,000 program kesedaran bagi melindungi generasi masa depan negara.

Komitmen terhadap nilai kemanusiaan turut dizahirkan melalui kejayaan menyelamatkan lebih 300 mangsa pemerdagangan orang, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam usaha membanteras jenayah ATIPSOM.

Di bawah kepimpinan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, dengan sokongan berterusan YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, serta diterajui pengurusan tertinggi kementerian oleh YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi serta seluruh warga kementerian kekal bersatu melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara dengan penuh integriti dan profesionalisme.

Pencapaian ini mencerminkan tekad KDN untuk terus melangkah ke hadapan, memperkukuh keupayaan, mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan Malaysia kekal aman, berdaulat dan sejahtera.

KDN: Keselamatan Tanggungjawab Bersama

(***Laporan rasmi adalah Laporan Tahunan Kementerian Dalam Negeri 2025)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *