



KOMITMEN KDN & JPN
28 Disember 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kekal komited memastikan setiap pendaftaran kelahiran dilaksanakan secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak, di samping memelihara keharmonian masyarakat dan identiti nasional.
Untuk makluman orang ramai, JPN memainkan peranan penting dalam memastikan semua kelahiran yang berlaku di Malaysia didaftarkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pendaftaran kelahiran dilaksanakan berdasarkan:
▪️ Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299);
▪️ Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (Cap. 123);
▪️ Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Cap. 10)
Ketiga-tiga perundangan ini menetapkan bahawa setiap kelahiran di Malaysia adalah wajib didaftarkan.
KUASA PENDAFTAR BESAR & GARIS PANDUAN PENAMAAN
Berdasarkan Seksyen 16, Akta 299, Pendaftar Besar mempunyai kuasa untuk mendaftarkan atau menolak pendaftaran nama yang didapati tidak menyenangkan atau tidak diingini.
Sehubungan itu, JPN telah memperkenalkan garis panduan khusus melalui Arahan Jabatan Bil. 8/2006 bertarikh 2 Oktober 2006 berkenaan Prosedur Penamaan Kanak-kanak Semasa Pendaftaran Kelahiran.
Arahan ini digunakan sebagai panduan rasmi kepada semua Pendaftar JPN di kaunter bagi memastikan nama yang didaftarkan menepati tatacara, kesesuaian bahasa, agama serta norma budaya masyarakat, demi menjaga kepentingan identiti kanak-kanak dan keharmonian sosial.
TIGA KATEGORI UTAMA PENAMAAN KANAK-KANAK
Berdasarkan arahan tersebut, penamaan kanak-kanak dibahagikan kepada tiga (3) kategori utama:
1️⃣ Penamaan yang Ditegah (Objectionable)
Merangkumi penggunaan gelaran rasmi atau nama yang membawa maksud tidak sesuai, antaranya:
▪️ Tan Sri
▪️ Dato’
▪️ Haji
▪️ Nabi
▪️ Gabenor
▪️ Dr.
▪️ Mahaguru
▪️ Malang
▪️ Haram
Nama dalam kategori ini tidak dibenarkan untuk didaftarkan.
2️⃣ Penamaan yang Tidak Sesuai (Undesirable)
Melibatkan ringkasan nama atau nama yang membawa maksud tidak baik, seperti:
▪️ Singkatan (contoh: D, Mohd, Abd, M.)
▪️ Nombor (contoh: 45)
▪️ Nama haiwan
▪️ Nama buah-buahan atau sayur-sayuran
▪️ Nama perkakasan
Penamaan sebegini boleh menjejaskan identiti dan kepentingan kanak-kanak pada masa hadapan.
3️⃣ Penamaan dengan Gelaran Keturunan
Gelaran keturunan hanya boleh diwarisi melalui bapa dalam perkahwinan yang sah.
Sekiranya:
▪️ Bapa tidak mempunyai gelaran keturunan
▪️ Ibu mempunyai gelaran keturunan
➡️ Gelaran tersebut tidak boleh diturunkan kepada anak.
Antara contoh gelaran keturunan ialah:
▪️ Tengku
▪️ Engku
▪️ Megat
▪️ Syed
▪️ Sharifah
▪️ Nik
PEMBETULAN & PERUBAHAN NAMA
Bagi nama yang didapati tidak sesuai atau membawa maksud tidak baik:
▪️ Pembetulan maklumat boleh dibuat dalam Daftar Kelahiran sekiranya kanak-kanak berumur di bawah satu (1) tahun.
Bagi kanak-kanak yang melebihi umur satu (1) tahun:
▪️ Perubahan nama hanya boleh dipohon semasa permohonan MyKad atau selepas memiliki MyKad;
▪️ Pertukaran ini hanya akan dipaparkan pada MyKad;
▪️ Akta 299 tidak membenarkan sebarang perubahan nama pada sijil lahir
📌 Orang ramai disarankan untuk mendapatkan penjelasan lanjut di pejabat JPN terdekat atau saluran rasmi JPN bagi memastikan urusan pendaftaran kelahiran berjalan lancar dan mematuhi ketetapan yang ditetapkan.
