
Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
1 JAN. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan selamat menyambut tahun baru Masehi 2026 kepada seluruh umat negeri Perlis tersayang.
Baginda berdua yakin, rakyat Perlis akan memberikam komitmen penuh terhadap segala perancangan tahun baru ini dan akan terus dipertingkatkan ke tahap tertinggi melalui usaha yang lebih berintegriti, agresif dan berfokus.
Segala gerak kerja dan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab di sepanjang tahun 2025 hendaklah diambil sebagai pengajaran untuk memastikan perancangan yang disusun mempunyai keberkesanan, nilai tambah dan memiliki penambahbaikan yang lebih jitu, pantas dan mampu membawa ke suatu tahap lain yang lebih membanggakan.
PULANG KE TANAHAIR
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) titah Baginda berdua sebelum berangkat pulang ke tanahair selepas selamat menunaikan ibadah umrah di Bilik Orang-Orang Kenamaan Altanfeethi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Duli-Duli Yang Teramat Mulia Tuanku beserta anakanda-anakanda adalah Ketua Canseri Konsulat Malaysia Jeddah, Anwar Abd Rahman, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin, dan Naib Konsul Haji, Haji Affandi Abdullah.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan berbanyak terima kasih atas segala doa kesejahteraan yang ditujukan kepada baginda serta kerabat DiRaja, dan juga atas ucapan selamat menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-58 pada 30 Disember lalu, yang telah dipersembahkan melalui pelbagai medium dan tidak dapat baginda jawab satu persatu. – JM
