





Oleh: Sholina Osman
1 JAN. 2026
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), sebuah kerangka perundangan baharu yang memperkukuh keselamatan pengguna dan meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya mengambil maklum bahawa ancaman jenayah dalam talian semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Berdasarkan rekod PDRM rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian dari Januari 2023 hingga November 2025,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
KES EKSPLOITASI SEKSUAL
Beliau berkata dalam tempoh yang sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu 688 kes dicatatkan dari Januari 2021 hingga November 2025.
Selain itu kata beliau kes berkaitan “Child Sexual Abuse Material” (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025.
Sehubungan itu kata Mohd Khalid pelaksanaan ONSA merupakan langkah penting bagi memastikan platform digital bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, pemyalahgunaan identiti dan kandungan ekstremisme.
UNTUK MELINDUNGI RAKYAT
“Pendekatan ini selaras dengan komitmen untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan,” kata beliau lagi.
PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC, Kementerian berkaitan serta penyedia paltform digital melalui pendekatan whole-of-government, bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.
Seiring pelaksanaan ONSA PDRM akan terus komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan.
PDRM yakin bahawa ONSA akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara, serta memastikam keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks. – JM
