





Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 JAN. 2026
Sambutan Tahun Baharu 2026 yang diraikan dalam suasana penuh harmoni menjadi pemangkin awal kepada kempen Majlis Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) Countdown Festival malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sambutan ini juga mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia.
“Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan, dalam suasana aman dan tertib,” kata beliau dalam perkongsian di FB.
TERUS MEMPERKUKUH KEHARMONIAN
Beliau berharap semoga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional, serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global.
Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka tirainya secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, iaitu sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur.
Festival kira detik yang disertai Anwar,
menandakan permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia. – JM
