





Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 JAN. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan masih utuh di mana semua telah memberikan ikrar untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Soal orang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu masalah mereka… (kami) tak campur masalah PAS dan Bersatu bercerai-berai ini bukan masalah kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media sebagai mengulas berkenaan ura-ura pembentukan Muafakat Nasional (MN) kesan daripada perseteruan dalaman yang berlaku antara PAS dan BERSATU ketika ini.
Anwar menyifatkan ura-ura itu belum berada pada tahap serius.
Beliau menjelaskan setakat belum menerima sebarang maklumat lanjut berhubung pembentukan MN sambil menegaskan sebarang keputusan adalah tertakluk kepada pihak berkaitan.
BERTEMU PENDUDUK TAMAN
Sebelum itu Anwar singgah ke Medan Selera Jalan 12 di Petaling Jaya untuk makan tengah hari dan bertemu penduduk Taman Dato’ Harun dan sekitarnya.
Pada perkongsian di FB beliau menerima beberapa aduan mengenai sekolah dan isu-isu membabitkan peniaga dan penduduk di kawasan itu.
“Insya-Allah segala yang dibangkitkan akan diteliti dan disusuli dengan tindakan segera,” kata Anwar.
MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT
Beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriyah bersama kira-kira 2,000 jemaah.
Beliau berkata khutbah disampaikan mengingatkan kita untuk bermuhasabah menilai amalan kita sepanjang tahun lalu, terutama dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
“Khatib turut berpesan supaya kita menggunakan sepenuhnya masa yang ada untuk menambah ketaatan kepada Allah SWT agar tidak menyesal tatkala dipanggil bertemu Ilahi kelak,” tambah beliau. – JM
