Imigresen Johor selamatkan 3 wanita Indonesia jadi mangsa pemerdagangan manusia

Oleh: Sholina Osman
7 JAN. 2026

Nasib tiga wanita warganegara Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia terbela setelah diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin, Johor pada 6 Januari 2026.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi ini melibatkan seramai 24 orang pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.

Beliau berkata dalan operasi tersebut, ketiga-tiga mangsa berkenaan sedang bekerja di premis tersebut.

Jelas beliau siasatan awal mendapati mangsa dipaksa bekerja di kilang milik majikan sendiri pada waktu pagi dan kemudian bekerja di premis kediaman selepas tamat bekerja di kilang tersebut.

DILAPORKAN TELAH BEKERJA

“Mangsa yang berusia 24 tahun hingga 33 tahun itu dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama 1 hingga 2 tahun,” kata beliau dalam kenyataan media.

Mohd Rusdi berkata pasport mangsa ditahan oleh majikan, pergerakan mereka dihadkan dan mereka dikenakan sekatan komunikasi untuk berhubung dengan keluarga.

Majikan terlibat seorang lelaki tempatan dan dua perempuan tempatan yang masing-masing berusia dalam lingkungan 31 tahun hingga 62 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Operasi menyelamat ini menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

JIM Johor menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang mengambil kesempatan ke atas pekerja asing melalui paksaan, ugutan atau eksploitasi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *