



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JAN. 2026
Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan kemakmuran yang dibina dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh, demi masa depan Malaysia yang lebih berdaya saing, inklusif dan berperikemanusiaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam masa yang sama, rakyat perlu diperkasa dan dilengkapi dengan keupayaan menghadapi perubahan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), agar mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan dan kemajuan negara.
“Saya tekankan bahawa kekuatan ekonomi yang mampan membolehkan kerajaan menyalurkan pelbagai manfaat secara terus kepada rakyat selain sokongan berterusan melalui agensi-agensi berkaitan,” kata Anwar dalam perkongsian dalam FB.
Terdahulu sebaik tiba di Ankara, beliau terus menghadiri Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di Republik Türkiye.
200 RAKYAT MALAYSIA
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Jelas Anwar pertemuan ini menjadi ruang penting untuk saya berkongsi hala tuju jelas Kerajaan MADANI dalam mengurus ekonomi negara dan memperkukuh tatakelola yang berintegriti, telus serta berteraskan kepentingan rakyat.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam ucapan pada majlis berkenaan menjelaskan ini merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye selama tiga hari bermula Selasa memberi tumpuan kepada perbincangan substantif bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau berkata pertemuannya dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dijadualkan pada Rabu akan menumpukan usaha memperluas kerjasama, antaranya dalam bidang perdagangan, pelaburan, diplomasi, pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan.
“Kunjungan ini saya anggap amat penting. Presiden bergurau dengan saya, jika tidak datang, beliau tidak mahu berkawan lagi kerana beliau telah membuat lawatan ke Malaysia, dan saya menganggap beliau sebagai sahabat karib,” katanya. – JM
