Tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat – Sultan Selangor

Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.

Justeru itu titah Baginda operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.

Kenyataan media Istana Alam Shah ini sebagai merujuk kepada sesi menghadap yang telah berlangsung bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Yang Berhormat Datuk Ir. Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

KAJIAN YANG TERPERINCI

Baginda menegaskan satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Negeri Selangor sahaja.

Selain itu Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” titah Baginda.

TIDAK AKAN MENYEDIAKAN

Titah Baginda Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.

Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.

Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *