
KUCHING, 15 Jan – Sarawak mencatatkan hampir 5 juta ketibaan pelancong sepanjang tahun lalu, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi pernah dicapai setakat ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Katim Rahman Hamzah berkata, walaupun sasaran 5 juta pelawat belum direalisasikan sepenuhnya, pencapaian kali ini tetap membanggakan.
“Jumlah ketibaan sehingga 31 Disember ialah 4.971 juta, kurang kira-kira 28,800 daripada sasaran. Ketibaan pelawat tahun lalu ialah 4,971,197, yang merupakan rekod tertinggi pernah dicapai setakat ini,” jelasnya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis di Kuching hari ini.
Menurut beliau, walaupun sasaran ketibaan tidak tercapai sepenuhnya, namun hasil industri pelancongan negeri mencatatkan prestasi luar biasa.
Beliau mendedahkan, dari Januari hingga Disember jumlah hasil pelancongan Sarawak mencecah RM12.672 bilion, yang memberi manfaat terus kepada industri hospitaliti termasuk hotel, restoran, rumah tumpangan dan penginapan.
“Industri pelancongan Sarawak kini berada dalam keadaan sangat memberangsangkan. Saya yakin sasaran 5 juta pelawat dapat dicapai pada 2026, dan sasaran rasmi sama ada 5 juta atau 5.2 juta akan diumumkan kemudian,” katanya.”
Mengulas mengenai negara penyumbang pelawat terbesar, beliau berkata, Brunei Darussalam kekal sebagai penyumbang utama.
“Pelawat paling ramai datang dari Brunei, khususnya secara mingguan. Ini juga sebab mengapa Miri berkembang dengan sangat pesat,” Ujar Dato Sri Abdul Karim
Selain itu, Indonesia turut mencatatkan peningkatan ketara berikutan hubungan pengangkutan yang baik, sama ada melalui udara atau jalan darat.
MADELINA
