JAIPs, MAIPs hargai dedikasi pegawai masjid perkukuh syiar Islam di Perlis

Oleh: Sholina Osman
17 JAN. 2026

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan penghargaan yang tinggi terhadap dedikasi pegawai masjid di Negeri Perlis, yang sentiasa berkhidmat dengan penuh komitmen dalam memakmurkan masjid serta memperkukuh syiar Islam di negeri ini.

Penghargaan tersebut disampaikan melalui Majlis Pengurniaan Kain Samping Rasmi Pegawai Masjid Negeri Perlis Tahun 2026, yang telah disempurnakan secara simboliknya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs, bertempat di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin.

IMEJ PEGAWAI MASJID

Majlis ini juga bertujuan memperkukuh imej pegawai masjid sebagai individu yang tersusun, bersih, dan berwibawa, sekaligus menjadi teladan yang baik kepada jemaah dan masyarakat setempat. Pengiktirafan sebegini memberi motivasi kepada para pegawai untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi.

Di samping itu, inisiatif ini diharap dapat memupuk semangat kerjasama serta mempererat hubungan antara pegawai masjid dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi JAIPs dan MAIPs untuk menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, dan khidmat umat yang bersepadu dan berkesan di seluruh Perlis.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000, yang melibatkan seramai 150 orang penerima terdiri daripada 75 orang anak kariah dari Bukit Keteri dan 75 orang lagi anak kariah dari Jamek Beseri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *