Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia harap dapat menarik syarikat-syarikat di negaranya meninjau pelaburan di Perlis

Oleh: Sholina Osman
20 JAN. 2026

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menzahirkan minat terhadap perancangan pelaburan Perlis, khususnya dalam sektor perindustrian serta Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port, PIP), yang boleh dijadikan rujukan kepada syarikat-syarikat Australia yang berminat meneroka peluang pelaburan di negeri ini.

“Kami akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat-syarikat yang berminat dan berharap dapat menarik syarikat Australia untuk datang meninjau peluang pelaburan di Perlis”, katanya.

Beliau yang diiringi sama Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall, memaklumkan bahawa lawatan itu merupakan kunjungan pertamanya ke Perlis dan memberi peluang kepadanya untuk memahami potensi pelaburan negeri ini, terutamanya pembangunan sektor perindustrian dan usaha menarik lebih banyak pelaburan.

SESI MENGADAP HORMAT

Heinecke memaklumkan demikian kepada pemberita sebelum sesi mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, malam tadi.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selepas selesai sesi sembah mengadap tersebut, Heinecke dihoskan jamuan santapan malam oleh Tuanku Syed Sirajuddin, Tuanku Syed Faizuddin Putra serta Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen.

BERADA DI PERLIS

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia itu berada di Perlis selama dua hari bermula 19 hingga 20 Januari 2026 sempena lawatan kerja ke negeri ini.

Beliau turut diberikan sesi Taklimat Pembangunan Negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dan melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar.

Heinecke juga mengiringi Tuanku Raja Muda dalam program Kayuhan MAIPs Peduli.

Selain itu beliau melakukan kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma.

Juga turut menyampaikan ucaptama di Ambasssador Talk Series berjudul ‘Strengthening Australian and Malaysian Ties Through Education’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Heinecke juga menyantuni alumni pelajar Australia di Perlis, selain mengadakan perbincangan kerjasama bersama Naib Canselor, Rektor serta kepimpinan tertinggi Institusi-Institusi Pengajian Tinggi yang beroperasi di negeri Perlis sebelum pulang ke ibunegara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *