




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 JAN. 2026
Negara telah membuktikan keupayaan menghimpunkan pemimpin dunia serta mengendalikan persidangan dengan cekap, tersusun dan berintegriti semasa menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap tetamu pulang dengan keyakinan terhadap profesionalisme, keramahan dan disiplin negara kita.
“Lebih penting, Kepengerusian Malaysia telah mencatat kejayaan bermakna dan bersejarah, termasuklah pemeteraian dokumen ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, memudah cara Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, serta menyambut keanggotaan penuh Timor-Leste sebagai keluarga besar ASEAN,” kata Anwar.
MENYAMPAIKAN PENGHARGAAN TERTINGGI
Terdahulu beliau dan anggota pentadbiran negara hadir di MAEPS, Serdang bagi menyampaikan penghargaan tertinggi kepada puluhan ribu petugas kementerian dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta sektor swasta yang menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan iltizam, disiplin dan keikhlasan mengangkat nama negara.
Namun kata beliau dalam perkongsian di FB, kejayaan tidak harus melalaikan.
“Kestabilan politik, tatakelola yang baik, kepimpinan beramanah serta dasar yang jelas mesti terus diperkukuh agar keyakinan dunia diterjemahkan kepada kemajuan yang benar-benar memberi makna kepada rakyat,” kata beliau.
Jelas Anwar, Malaysia memilih untuk memimpin ASEAN dengan nilai, menolak keangkuhan kuasa serta membina masa depan serantau berteraskan tanggungjawab, kepercayaan dan kemanusiaan, berlandaskan keterangkuman dan kemampanan. – JM
