







Oleh : Wartawan JM
22 Jan 2026
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan ke Pahang bagi meninjau perkembangan pembangunan di Bentong bermula dengan mendengar taklimat pembangunan daerah ini bersama Menteri Besar serta pimpinan Kerajaan Negeri dan daerah.
PMX berkata, di bawah RMK13, Kerajaan MADANI telah meluluskan 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang, termasuk 34 projek bernilai RM1.66 bilion khusus untuk Bentong.
” Namun angka ini tidak bermakna jika pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat.
” Kerana itu keutamaan kita tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat,” ujar beliau dalam perkongsian di laman media sosialnya hari ini.
Anwar berkata, sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun, kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati.
” Saya turut dimaklumkan bahawa ketika ini terdapat sekitar 106 keluarga miskin tegar di Bentong.
” Saya mengarahkan agar bantuan disegerakan dan keluarga-keluarga ini mesti dikeluarkan daripada kepompong miskin tegar dalam tempoh satu bulan, ” jelas PMX lagi.
WAJIB MEMANTAU PROJEK SECARA DEKAT
Kata beliau, dalam masa yang sama, semua peringkat wajib memantau kemajuan projek secara dekat.
” Tahun ini misalnya, kita akan menambah bilik darjah dan meningkatkan keselesaan bilik guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, termasuk pelaksanaan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun 1 pada usia enam tahun secara sukarela.
” Kegagalan di peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak, ” jelas beliau lagi.
Menurut PMX, soal integriti juga tidak boleh dikompromi.
Beliau berkata, setiap wang yang disalurkan adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak.
Jelas beliau lagi, kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat.
