PMX arah segera bantu 106 keluarga miskin tegar di Bentong, Pahang

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 JAN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan disegerakan bantuan kepada 106 keluarga miskin tegar di Bentong, Pahang.

Beliau yang dimaklumkan mengenai perkara ini semasa lawatan ke Bentong hari ini mahu keluarga miskin ini mesti dikeluarkan daripada kepompong miskin tegar dalam tempoh satu bulan.

“Hari ini saya ke Pahang bagi meninjau perkembangan pembangunan di Bentong, bermula dengan mendengar taklimat pembangunan daerah ini bersama Menteri Besar serta pimpinan Kerajaan Negeri dan daerah,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

MELULUSKAN 563 PROJEK

Di bawah RMK13, beliau berkata Kerajaan MADANI telah meluluskan 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang, termasuk 34 projek bernilai RM1.66 bilion khusus untuk Bentong.

“Namun angka ini tidak bermakna jika pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat,” kata beliau.

Sehubungan itu kata keutamaan kerajaan pada tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat.

TERTANGGUH AKIBAT KELEMAHAN

Jelas Anwar sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun, kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati.

Jelas beliau dalam masa yang sama, semua peringkat wajib memantau kemajuan projek secara dekat.

“Tahun ini misalnya, kita akan menambah bilik darjah dan meningkatkan keselesaan bilik guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, termasuk pelaksanaan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun 1 pada usia enam tahun secara sukarela,” kata beliau.

TERMASUK PROJEK BERMASALAH

Anwar berkata kegagalan di peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak.

“Soal integriti juga tidak boleh dikompromi. Setiap wang yang disalurkan adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak. Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *