MAHKAMAH SYARIAH KEKAL BEBAS DAN BERINTEGRITI SEIRING ERA DIGITAL

KUCHING, 22 Jan – Mahkamah Syariah perlu terus diperkasa sebagai institusi kehakiman yang bebas, berintegriti dan diyakini masyarakat sejajar dengan cabaran semasa termasuk dalam era digital.

Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi berkata, media sosial adalah cabaran baharu kepada integriti proses kehakiman, meskipun membuka ruang kepada keterbukaan maklumat.

“Penilaian kes hendaklah berasaskan fakta dan hujahan di mahkamah, bukan dibentuk oleh tekanan awam atau naratif tular,

“ Namun begitu, media sosial tidak harus dilihat semata-mata sebagai ancaman. Jika dimanfaatkan secara beretika, ia boleh menjadi medium strategik untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap fungsi Mahkamah Syariah dan
memperkukuh kepercayaan awam,” Tambahnya.

Ujarnya, kebebasan kehakiman adalah asas keluhuran sistem keadilan, namun dalam konteks syariah, ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta tertakluk kepada hukum syarak, peruntukan undang-undang dan etika kehakiman.

Datu Awang Suhaili berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2026 O-S-Y-L-S 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya keberkesanan sistem kehakiman syariah bergantung kepada kerelevanan kerangka perundangan yang diamalkan.

Katanya, undang-undang syariah perlu sentiasa dinilai dan dikemas kini agar selari dengan perkembangan masyarakat dan teknologi, tanpa menjejaskan prinsip hukum syarak.

Malah, pembangunan modal insan perlu diutamakan dengan memastikan Hakim syarie dan seluruh warga Mahkamah Syariah dilengkapi ilmu, kemahiran profesional, penguasaan teknologi serta nilai integriti dan amanah yang tinggi.

Beliau menegaskan transformasi digital juga perlu dilaksanakan secara berfasa dan berhemah dengan menitikberatkan aspek keselamatan data, kerahsiaan prosiding dan integriti kehakiman, bagi memastikan teknologi menjadi pemudah cara penyampaian keadilan yang cekap dan inklusif.

Debbie Amanda

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *