




MANJUNG, 23 JANUARI 2026- Sepasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung hari ini telah menjalankan satu operasi pemeriksaan khas ke atas premis perniagaan buah-buahan, khususnya jualan durian, di sekitar kawasan Manjung dan Sitiawan hari ini.
Operasi tersebut dilaksanakan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972, khususnya berkaitan kewajipan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan penggunaan alat timbang yang sah serta masih dalam tempoh tentuan.
ETIKA PERNIAGAAN YANG JUJUR
Dalam operasi ini, KPDN menegaskan agar semua peniaga sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan berintegriti serta tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna, terutamanya sepanjang musim buah-buahan. Kegagalan mematuhi undang-undang yang ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan kompaun atau pendakwaan diambil tanpa sebarang kompromi. Pemeriksaan secara berterusan ini merupakan komitmen kementerian dalam memastikan kestabilan harga serta keadilan dalam urus niaga di pasaran domestik.
Pada masa yang sama, KPDN Cawangan Manjung menyeru para pengguna agar sentiasa peka terhadap hak mereka dengan menyemak harga dan timbangan sebelum melakukan sebarang transaksi.
Sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyelewengan oleh peniaga, pengguna digalakkan untuk menyalurkan aduan melalui saluran rasmi seperti portal e-Aduan, aplikasi Ez ADU atau talian WhatsApp rasmi KPDN.
Kerjasama orang awam amat dihargai bagi memastikan setiap aduan dapat disiasat dan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.
Unit Media
KPDN Manjung
