UniMAP-MAIPs Peduli 2026: 300 pelajar asnaf terima zakat RM90,000

Wartawan JM
23 JAN. 2026

Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026 telah mengagihkan zakat berjumlah RM90,000 kepada 300 pelajar asnaf.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata ia melibatkan 280 pelajar daripada tujuh fakulti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan 20 pelajar Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Agihan zakat ini merupakan amanah yang perlu diurus secara telus dan berintegriti supaya benar-benar memberi impak langsung kepada kesejahteraan penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Zakat sempena Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

PENYAMPAIAN CEK CURA

Pada majlis itu diadakan penyampaian cek cura oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mod Noor bernilai RM90,000 kepada Zaliman.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyaksikan penyampaian cek cura berkenaan.

Zaliman berkata agihan itu bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya satu amanah besar yang mencerminkan keprihatinan universiti berkenaan terhadap kebajikan mahasiswa khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan kelangsungan pendidikan.

SEMUA PENYUMBANG ZAKAT

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada MAlPs serta semua penyumbang zakat yang terus mempercayai UniMAP untuk mengurus dan menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang layak.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 1,254 mahasiswa UniMAP menerima manfaat agihan zakat MAlPs dengan jumlah keseluruhan melebihi RM687,000 termasuk melalui program MAIPs Peduli dan Agihan Bantuan Pengajian sempena Ramadan.

“Prestasi kutipan zakat gaji UniMAP turut meningkat kepada RM1.77 juta pada 2025, naik hampir RM300,000 atau 16.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan itu dijangka membolehkan agihan yang lebih meluas dan berimpak pada 2026,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *