Raja Muda ketuai Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah ATAM di Krabi

Sholina Osman melaporkan dari Krabi, Thailand
23 JAN. 2026

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd
ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi mulai 23 hingga 25 Januari.

Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengurus Besar ATAM Sdn Bhd Muhammad Farid Abdul Rahim.

Kenyataan media MAIPs memaklumkan program kali ini adalah bagi melestarikan falsafah Ummatan Wahidah melalui perkongsian pintar di dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam sejajar dengan falsafah Pertumbuhan Segitiga
Indonesia-Malaysia-Thailand (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle:IMT-GT).

IMPAK YANG POSITIF

Ini merupakan edisi ke-11 Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah
Andaman Thailand setelah menatijahkan impak yang positif sejak julung kali diadakan pada tahun 2015.

Ziarah Mahabah MAIPs-Wilayah Andaman Thailand (ZMMAT) telah diadakan di Krabi (2015); Phuket (2016); Phang-Nga dan Nakhorn Sitammarat (2017); Trang (2018); Ranong (2019); Krabi (2020); Phuket (2022); Trang (2023); Phang Nga & Phuket (2024) dan Ranong & Bangkok (2025),

ZMMAT 2026 kali ke-11 ini merupakan kali ke-3 ke Krabi selepas julung kali ZMMAT diadakan di Krabi pada 2015 dan ke-2 pada 2020.

Pada edisi tahun 2026 ini, fokus ZMMAT adalah melestarikan kerjasama ATAM dengan kepakaran usahawan dan industri di Krabi Thailand bagi melatih asnaf di
Perlis dengan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang melalui kerjasama kursus-kursus kemahiran yang sesuai ke arah merealisasikan usahawan asnaf berjaya.

Selain itu, beberapa program lain turut dilestarikan yang melibatkan kolaborasi bersama pihak-pihak seperti Kerajaan Negeri Perlis (Promosi Visit Perlis 2026 &bPerlis Food Promotion), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (Program Jawi dan
Bahasa Melayu), IPT Negeri Perlis iaitu UniSIRAJ (Promosi UniSIRAJ) serta pelbagai agensi kerajaan & swasta Negeri Perlis yang lain.

Kerjasama strategik MAIPs dan Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman Thailand dan Majlis Agama Islam Bangkok Thailand ini berterusan menerusi perkongsian pintar dalam pelbagai bidang demi merealisasikan matlamat ummatan wahidah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *