Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan di kediaman rasmi beliau di sini, pada Isnin.

Edgard yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan beliau di Malaysia pada 16 Februari 2026, telah memulakan tugas sejak Disember 2023.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai inisiatif strategik yang melibatkan kepentingan bersama, khususnya dalam bidang ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Edgard menyatakan kekaguman beliau terhadap kestabilan politik serta pelaksanaan pembangunan yang menyeluruh di Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau juga menegaskan komitmen Kedutaan Amerika Syarikat untuk terus menjadi rakan strategik dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju.

Sebelum mengakhiri sesi pertemuan, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Juniadi atas kerjasama erat, keterbukaan serta kesediaan berkongsi pandangan dan nasihat sepanjang tempoh hubungan diplomatik yang terjalin.

Hadir sama ialah Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia James Dewey serta Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato Fenny Nuli.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Shahril Haqim

UKASnews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *