Arkeologi Guar Kepah harus dikembangkan sebagai pusat ilmu – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 JAN. 2026

Projek arkeologi di Guar Kepah harus dikembangkan bukan sahaja sebagai galeri tetapi dikembangkan sebagai pusat ilmu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bukan saja menjadi sebuah galeri yang boleh mendidik, galeri tentang sejarah malah tentang kepelbagaian.

“Sejarah bukan sekadar tinggalan silam, tetapi cerminan jiwa dan perjalanan peradaban bangsa,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Galeri Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

TAHUN MELAWAT MALAYSIA

Anwar berkata pelancaran galeri ini yang seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, adalah sebagai usaha menampilkan bukan sahaja keindahan destinasi, tetapi kedalaman sejarah dan tamadun yang membentuk wajah negara.

Beliau berkata tapak prasejarah seperti Guar Kepah mengingatkan kepada akar tamadun telah lama bertapak, dan menjadi amanah generasi hari ini untuk memelihara serta memaknainya sebagai pedoman masa depan.

Berlandaskan kesedaran inilah katanya Kerajaan MADANI memastikan subjek Sejarah dimartabatkan sebagai mata pelajaran wajib dalam sistem pendidikan negara.

SEKADAR MENGHAFAL FAKTA

Jelas beliau hasratnya bukan untuk melahirkan generasi yang sekadar menghafal fakta, tetapi membina warga yang memahami perjalanan bangsanya, menghargai pengorbanan terdahulu, serta memiliki jati diri yang kukuh, berfikiran kritis dan beradab dalam mendepani cabaran zaman.

Tambah beliau usaha pemuliharaan warisan seperti ini bukan sahaja memelihara tinggalan sejarah, malah membuka ruang baharu kepada pembangunan ilmu, penyelidikan serta pelancongan berkualiti, sekali gus meletakkan Malaysia dengan yakin pada peta pelancongan sejarah dunia.

“Inilah ikhtiar membina kemajuan yang berteraskan ilmu, budaya dan jati diri selari dengan kerangka Malaysia MADANI yakni membangun dengan akar peradaban yang kukuh, dan melangkah ke depan dengan kesedaran sejarah serta kebijaksanaan,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *