MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA KETUA-KETUA JABATAN/AGENSI PENGUAT KUASA YANG BERHUBUNGAN DENGAN JENAYAH KEWANGAN

PUTRAJAYA, 28 Januari 2026 – Majlis Amanat YAB Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan telah berlangsung petang tadi di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dan turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, Ketua Polis Negara, YBhg. Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, Ketua Pengarah NFCC serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi penguat kuasa berkaitan.

Majlis anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) ini menjadi platform penyelarasan strategik antara agensi penguat kuasa bagi memperkasa tindakan bersepadu dalam menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks dan merentas bidang kuasa.

Dalam amanat yang disampaikan, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk kompromi terhadap penyelewengan, rasuah dan jenayah kewangan. YAB Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa pegawai penguat kuasa yang gagal memikul amanah, lemah integriti atau culas dalam tanggungjawab tidak wajar terus diberikan ruang, demi kepentingan negara dan rakyat.

JAWATAN BUKAN KEISTIMEWAAN

YAB Perdana Menteri menekankan bahawa jawatan bukan keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian, ketegasan serta kesediaan membuat keputusan yang benar walaupun berisiko dan tidak popular. Sebarang kelompangan, kebocoran atau kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan mesti diperbetulkan segera tanpa berlengah.

Penyeludupan, rasuah serta kegiatan jenayah kewangan tidak boleh sama sekali dinormalisasikan, apatah lagi jika berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh pihak yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Perbuatan sedemikian merupakan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

Majlis seperti ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus, integriti dan ketelusan dalam membanteras jenayah kewangan secara menyeluruh.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *