TYT YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK TERIMA KUNJUNGAN PERPISAHAN DUTA BESAR AMERIKA SYARIKAT KE MALAYSIA

KUCHING, 26 Januari – Pada jam 11.00 pagi tadi, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi, telah berkenan menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, H.E Edgard D. Kagan, bertempat di Kasuma Resort, Petra Jaya.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Mr James Dewey, Jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat serta Dato Fenny Nuli, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia.

Dalam pertemuan berkenaan, TYT Tun Pehin Sri dan H.E Edgard D. Kagan telah membincangkan pelbagai inisiatif strategik yang melibatkan kepentingan bersama, antaranya bidang Ekonomi Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui, sejajar dengan kedudukan Sarawak yang kini muncul sebagai hab tenaga bersih di rantau Asia Tenggara.

H.E Edgard D. Kagan turut menyatakan kekaguman beliau terhadap kestabilan politik serta perubahan dan pelaksanaan pembangunan yang menyeluruh di Sarawak di bawah kepimpinan YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak.

Beliau juga menzahirkan komitmen pihak Kedutaan Amerika Syarikat untuk terus menjadi rakan strategik dalam menyokong dan membantu Sarawak mencapai status negeri maju.

Sebelum mengakhiri sesi pertemuan, H.E Edgard D. Kagan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada TYT Tun Pehin Sri atas kerjasama erat serta sifat keterbukaan dan kemurahan hati dalam berkongsi nasihat dan pandangan sepanjang tempoh perkenalan serta hubungan diplomatik yang terjalin.

TYT Tun Pehin Sri turut menzahirkan harapan agar hubungan diplomatik dan ekonomi antara Amerika Syarikat dan Malaysia, khususnya dengan Sarawak, akan terus diperkukuhkan, dengan tumpuan khusus kepada pembangunan pesat dan mampan yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

Foto: Astana Sarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *