Segera mantapkan sistem pengurusan tanah perkuburan Islam dengan satu piawaian – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar sistem pengurusan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri ini segera dimantapkan lagi melalui satu piawaian yang seragam dan efisien demi menjamin kelangsungan tanah wakaf untuk jangka masa panjang.

Titah baginda, transformasi itu kini disokong sepenuhnya oleh dasar rasmi apabila Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan 6/2025 yang bersidang pada 4 Disember 2025 lalu telah memperakukan ‘Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Perlis’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra menurut kenyataan MAIPs selepas berkenan berangkat meninjau Makam DiRaja Lama Arau bersama agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Mengiringi Baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah JKR Negeri Perlis, Ir. Norikhwan Abu Seman dan Pengarah ICU Perlis, Maznah Musa.

DIJADIKAN RUJUKAN UTAMA

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menegaskan bahawa dokumen garis panduan tersebut hendaklah dijadikan rujukan utama oleh setiap Jawatankuasa Kariah Masjid dan pengurusan tanah perkuburan bagi memastikan tiada lagi isu pembaziran ruang atau kesesakan yang tidak terkawal di kawasan pusara.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, penguatkuasaan garis panduan ini adalah langkah proaktif MAIPs dalam menangani cabaran kepadatan tanah wakaf dengan mengambil iktibar daripada model pengurusan jenazah terbaik di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai model luar negara, Tuanku Raja Muda menyarankan agar pengurusan kubur di Perlis mempertimbangkan untuk mencontohi kesederhanaan yang diamalkan di Arab Saudi, khususnya di Perkuburan Al-Baqi’, Madinah.

“Di sana, amalan menanda kubur dilakukan secara ringkas tanpa sebarang binaan kekal yang megah, selari dengan tuntutan syarak serta membolehkan sistem pengurusan tanah yang lebih cekap dilaksanakan,” titah Baginda.

TERTARIK DENGAN SISTEM

Selain itu, Baginda turut tertarik dengan sistem yang diguna pakai di negara jiran, Singapura.

Walaupun berdepan kekangan tanah yang sangat kritikal, negara tersebut berjaya mewujudkan kawasan perkuburan seperti Pusara Aman yang berkonsepkan ‘Perkuburan Dalam Taman’.

Menerusi sistem ini, penggunaan nisan seragam di atas permukaan rumput yang rata bukan sahaja menjimatkan ruang, malah memudahkan jentera penyelenggaraan masuk untuk memastikan kawasan sentiasa bersih dan tidak semak.

Tuanku Raja Muda juga menyentuh mengenai pengalaman di Mesir yang wajar dijadikan teladan dalam aspek menguruskan tanah perkuburan di kawasan berkepadatan penduduk tinggi tanpa mengabaikan nilai sejarah dan penghormatan kepada jenazah.

Justeru, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar semua pihak, khususnya jawatankuasa masjid, mula mengubah landskap tanah perkuburan di kariah masing-masing agar lebih tersusun mengikut ‘grid’ yang ditetapkan dalam garis panduan baharu tersebut.

Baginda juga mahu melihat tanah perkuburan di Perlis berubah wajah menjadi kawasan yang tenang, menginsafkan, dan sedap mata memandang seperti yang sudahpun dilaksanakan di beberapa tanah perkuburan sedia ada, dan bukannya kawasan yang dipenuhi semak samun atau binaan yang tidak sekata apatah lagi yang berlawanan dengan keputusan Fatwa larangan binaan tambahan di tanah perkuburan kecuali bagi binaan terdahulu yang diwartakan sebagai warisan sejarah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *