Polis Arau tumpaskan “Geng Rahim Burma” lakukan 15 kes pecah rumah di Perlis

Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 202

Polis Arau berjaya menumpaskan ‘Geng Rahim Burma’ yang dianggotai warga negara Myanmar sekaligus menyelesaikan 15 kes pecah rumah di Perlis sejak tahun lepas.

Ketua Polis Arau Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata ia melibatkan 10 kes pecah rumah di Arau, empat kes di Kangar dan hanya satu kes di Padang Besar.

Bagaimanapun kata beliau daripada jumlah itu hanya tiga laporan polis telah dibuat berkaitan kes pecah rumah di kawasan Arau dan Mata Ayer sehingga membawa kepada penahanan ‘Geng Rahim Burma’ ini.

Beliau berkata, kesemua anggota ‘Geng Rahim Burma’ ini bekerja sebagai buruh binaan pada waktu siang manakala pada waktu malam pula melakukan jenayah pecah rumah.

TUAN RUMAH TIADA

Ahmad Mohsin berkata ‘Geng Rahim Burma’ ini biasanya akan melakukan rondaan beberapa kali bagi memastikan tuan rumah tiada di rumah yang ingin dipecah masuk.

Beliau berkata rumah yang menjadi sasaran ‘Geng Rahim Burma’ ini biasanya rumah banglo sebuah yang terletak di dalam kampung.

“Bertindak atas maklumat Ops Pintu, sepasukan polis daripada Bahagian
Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau bersama Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas tujuh lelaki warganegara Myanmar, dua perempuan
warganegara Myanmar, seorang perempuan warganegara Indonesia dan seorang lelaki Melayu
warganegara Malaysia yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah,” kata Ahmad Mohsin pada sidang media di IPD Arau hari ini.

SERBUAN DAN TANGKAPAN

Jelas beliau bermula pada 16 Januari 2026, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Arau bersama cawangan D4 IPK Perlis telah menjalankan serbuan dan tangkapan melibatkan lima lelaki warganegara Myanmar, seorang perempun warganegara Myanmar dan seorang perempuan warganegara Indonesia yang
disyaki terlibat dalam kes pecah rumah tersebut.

“Seterusnya, pada 23 Januari 2026, tangkapan susulan telah dijalankan
melibatkan seorang lelaki Melayu warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Myanmar
yang turut disyaki terlibat dalam kes pecah rumah tersebut,” kata beliau.

Ahmad Mohsin berkata tangkapan ini
dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilikan motokar yang digunakan dalam kejadian pecah rumah tersebut.

MELIBATKAN DUA LELAKI

“Pada 24 Januari 2026, tangkapan turut dijalankan melibatkan dua
lelaki warganegara Myanmar di mana kedua-dua saspek juga turut mempunyai kaitan dengan pemilikan motokar tersebut,” kata beliau.

“Salah seorang suspek yang ditahan di Mentakab pula didapati mempunyai 4 rekod jenayah lampau dengan kes pecah rumah dan dikesan pemegang kad UNCHR,” kata Ahmad Mohsin.

Beliau berkata dengan tangkapan itu pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk barang kemas, mata wang asing, duit syiling , peralatan pecah masuk, kereta dan sebagainya yang bernilai RM100,000.

Beliau berkata pertuduhan terhadap tujuh suspek telah dijalankan di Mahkamah Kangar pada 29 Januari lalu.

“Suspek dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Sek 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *