MCMC tumpaskan aktiviti scam guna Fake BTS di Genting Highlands

Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui satu operasi bersepadu telah berjaya mengesan serta menumpaskan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base
Transceiver Station – Fake BTS) di Genting Highlands, baru-baru ini.

Kenyataan media MCMC memaklumkan kejayaan operasi ini adalah hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan oleh MCMC yang mengenal pasti gangguan perkhidmatan
komunikasi serta penyebaran SMS berunsur penipuan kepada pengguna.

Berdasarkan risikan teknikal tersebut, satu operasi lapangan telah dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bersama sebuah syarikat telekomunikasi.

DUA BUAH KENDERAAN

Pada 19 Januari 2026, pasukan MCMC berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS). Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan (scam) kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang.

Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

KESALAHAN BOLEH DIDENDA

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga
sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan di bawah
Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard
Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara.

Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *