
KUCHING, 2 Feb – Kes kehamilan remaja di seluruh negeri mencatatkan penurunan lebih 11 peratus pada tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
Walaupun pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menunjukkan trend positif, peningkatan kes masih dilaporkan di Bahagian Sarikei dan Sibu serta 11 daerah berisiko.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Bil. 1/2026 di Kuching, hari ini.
Beliau berkata, fokus utama pada tahun ini adalah memastikan remaja wanita terus bersekolah dan memperoleh pendidikan sekurang-kurangnya sehingga Tingkatan Lima.
“Kajian sedia ada menunjukkan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan seseorang, semakin tinggi kebarangkalian untuk memperoleh masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, objektif kedua ialah pengurusan kebajikan remaja yang telah hamil, selain usaha mengurangkan kes pembuangan bayi yang masih dipengaruhi stigma masyarakat terhadap kehamilan di luar perkahwinan.
ENDS…ROSE
