


SIBU, 2 Feb – Pusat Jantung Satelit di Hospital Sibu bakal menjadi pusat jantung satelit paling lengkap di Sarawak, dengan pengoperasian beberapa peralatan perubatan penting di hospital berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Hospital Sibu kini telah mula mengoperasikan kemudahan Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) jantung yang baharu dipasang.
Menurut beliau, mesin tersebut merupakan yang kedua seumpamanya di Sarawak.
“Mesin berkenaan didermakan oleh Yayasan Jantung Sarawak dengan kos sebanyak RM2.5 juta, manakala kos ubah suai bangunan untuk menempatkan mesin itu ditanggung oleh kerajaan Persekutuan dengan peruntukan melebihi RM1 juta.” Katanya
Jelasnya, melalui mesin MRI jantung, doktor boleh melihat sama ada arteri tersumbat atau tidak.
Namun, perkara yang paling penting ialah, menilai sama ada otot jantung yang menerima bekalan daripada arteri yang tersumbat itu masih hidup atau telah mati.
“Kepentingan otot jantung masih hidup adalah kerana jika otot tersebut sudah mati sepenuhnya, walaupun pembedahan pintasan atau rawatan belon dilakukan, otot itu tetap tidak dapat berfungsi semula.”
“Dalam sesetengah kes, ada pesakit yang mengalami sumbatan pada hampir semua arteri jantung, dan doktor menyatakan pembedahan tidak boleh dilakukan. Ini bukan kerana tidak mampu untuk dibedah, tetapi kerana tiada manfaat untuk melakukan pembedahan jika otot jantung telah mati. Oleh itu, penilaian ini sangat penting.” Jelasnya.
Datuk Amar Dr, Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Bilik MRI Jantung Hospital Sibu hari ini, bersama rombongan Yayasan Jantung Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Persekutuan dijangka akan membuka tender bagi pemasangan Makmal Kateterisasi (Cath Lab) di Hospital Sibu dalam masa terdekat.
Kemudahan itu akan melengkapkan perkhidmatan rawatan penyakit jantung di wilayah tengah Sarawak, termasuk rawatan Angioplasti
Beliau menjangkakan proses pengubahsuaian bangunan serta pemasangan peralatan berkenaan kebiasaannya mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.
Penaiktarafan dan penambahan kemudahan itu akan membantu mengurangkan beban di Pusat Jantung Kota Samarahan, selain memudahkan pesakit jantung di wilayah tengah Sarawak mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Kuching.
– Alhadi-
