SPRM TAHAN REMAN 11 PEGAWAI AGENSI PENGUAT KUASA DISYAKI MINTA DAN TERIMA RASUAH

KUCHING, 3 Feb- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sarawak menahan reman 11 pegawai agensi penguat kuasa di salah sebuah daerah negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM239,000.

Ia sebagai balasan untuk menjaga keselamatan, tidak mengugut serta memudahkan urusan beberapa orang banduan.

Menurut sumber, Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad membenarkan enam suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Empat suspek lagi direman lima hari sehingga Sabtu, manakala seorang suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu pagi tadi.

“Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an telah ditahan antara pukul 11:50 pagi hingga 4:00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Bintulu”, jelas SPRM Sarawak.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2020 hingga 2025 dengan meminta rasuah daripada ahli keluarga.

“Kesemua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah antara RM2,400 hingga RM45,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik isteri dan orang tengah”.katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jamalia
Sumber SPRM Sarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *